Di dalam risalah yang
bertajuk "Bainal Amsi Wal Yaum" (Di Antara Semalam Dengan Hari
Ini) di bawah tajuk: "Ranjau-ranjau di jalan kita", Asy-Syahid
Hassan Al-Banna menyatakan:
"Saya suka berterus
terang kepada anda sekalian, sesungguhnya dakwah kami ini mesti belum dikenali
oleh orang ramai. Pada hari mereka mengenalinya dan mengetahui matlamat dan
objektifnya nanti, kamu pasti menerima penentangan yang hebat dan sikap permusuhan
yang ketat. Kamu akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan
yang akan menghalang kamu. Pada masa itu barulah kamu mula menempuh dan
mengikut jalan para pendukung dakwah. Adapun sekarang mereka tidak mengetahui
lagi, kamu di peringkat awal dakwah dan anda tentu bersedia dengan apa jua cara
yang dikehendaki oleh perjuangan dan jihad.
Kejahilan rakyat tentang
hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan kamu. Kamu akan dapati ahli-ahli
agama dan ulama-ulama yang rasmi menjadi orang yang hairan dengan kefahaman
Islam kamu dan tidak mengakui jihad kamu. Semua pemerintah akan bekerjasama
menjadi penghalang di hadapan muka kamu dan setiap pemerintah itu akan cuba
menyekat kegiatan-kegiatan kamu dan meletakkan halangan di jalan kamu.
Lanun-lanun ini juga akan
berganding bahu di setiap jalan untuk menentang kamu dan memadam sinar dakwah
kamu. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan
orang-orang yang akhlaknya rendah dan tangan-tangan yang sengaja meminta
sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap kamu.
Kamu akan dimusuhi dan
dibenci. Semuanya akan berusaha menimbulkan keraguan serta melemparkan
tuduhan-tuduhan yang zalim terhadap dakwah kamu dan menunjukkan kepada manusia
dengan gambaran yang paling hodoh dan kotor dengan menggunakan kekuatan dan
kekuasaan yang ada pada mereka. Mereka akan menindas dengan harta-benda dan
kuasa mereka.
Allah s.w.t berfirman:
Yang bermaksud:
Mereka sentiasa berusaha
hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah
tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan
yang demikian). (Surah As-Saff, Ayat: 8).
Dengan ini kamu akan
memasuki tingkat percubaan dan ujian di mana kamu akan dipenjara, ditangkap, dipindahkan,
dipencilkan, dirampas harta-benda kamu, disekat kerja-kerja kamu bahkan
digeledah rumah-rumah kamu. Boleh jadi masa ujian yang bakal kamu hadapi ini
panjang.
Allah s.w.t berfirman:
Yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka
tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-Ankabuut, Ayat: 2).
Tetapi Allah telah berjanji
kepada kamu selepas semuanya itu, iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan
ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal yang baik.
Firman Allah:
Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang
beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu
dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan
rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta
benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu
hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan
mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat
tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan
kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang
menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. Wahai orang-orang yang
beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana
(keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada
penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku)
kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah
pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka)
maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu
Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan
musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Surah As-Saff, Ayat:
10 - 14).
"Setelah memahami
penjelasan demikian, apakah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi
penolong-penolong (pejuang-pejuang menegakkan agama) Allah?".
No comments:
Post a Comment