6.1.16

MASIH LAGI DIA BERSAMAMU

menggigil tubuh ini
melihat kau bersamanya
tergamam aku tak berkata
meraung di jiwa

jauh mana mampu bertahan
sampai bila harus ku telan
setiap kali bertentangan
tiada ketenangan

sia-sia saja pengorbanan
dan kesetiaanku ini
ku sangkakan kau permata
rupanya duri paling berbisa

andai ku turut rasa hati
telah jauh ku bawa diri
ku berdoa supaya tabah jiwaku
tetapi bagaimana nak ku lawan
jiwa yang siksa.

*catatan sebelum exam 
apabila dia isytihar sudah berpunya

2.1.16

SELAMAT DATANG 2016

selamat datang 2016.

Alhamdulillah Tuhan masih lagi memberiku peluang untuk hidup dan menghirup udara 2016. Ramai orang yang mampu bersabar apabila ditimpa ujian tapi tidak ramai yang mampu bersyukur. Disebalik setiap kesusahan tersingkap beribu hikmah. Kita menyangka kebaikan yang datang selepas ujian hanyalah kebetulan dan keajaiban tapi sebenarnya ia adalah aturan Tuhan untuk kita.

Ramai orang yang mampu bermadah supaya sabar bila diuji tapi dia memberontak apabila diuji. Oleh itu, belajarlah untuk mencari jalan keluar apabila kita diuji. Kecewa, sedih dan menangis ialah perkara yang biasa berlaku. Kita boleh menangis tapi jangan sampai hanyut dalam kekecewaan. Apa yang penting ialah bangkit dan susun kembali perjalanan untuk hari yang mendatang.

Ujian menjadikan kita alumni kepada masalah. Apabila kita berjaya mengharungi ujian, kita menjadi contoh kepada orang lain. Orang ramai sepatutnya datang kepada kita kerana kita telah berjaya tapi tidak semua manusia sedar perkara ini. Mereka mencari orang yang silap dan gagal untuk kali kedua.

Segala kesenangan yang kita dapat hari ini hanyalah peluang yang diberikan oleh Tuhan untuk kita gunakan sebaik mungkin. Kita berjaya hari ini bukanlah kerana kita hebat. Kita berjaya masuk universiti bukanlah kerana kita ini pandai tetapi ini ialah peluang yang Tuhan beri. Ada orang yang keputusannya lebih baik dari kita tetapi dia tidak sambung belajar kerana masalah kewangan. Mereka masih lagi di kampung membanting tulang untuk keluarga di usia muda. Bersyukurlah kita.

Ayuh kita gunakan segala kesenangan yang Tuhan beri ini untuk benda yang baik. Jangan kita rosakkan masa, tenaga, kesenangan, kesihatan dan kudrat yang diberi untuk benda alpa. Belajarlah erti bersyukur sebelum Tuhan tarik balik nikmat ini. Ada orang yang kudung berdoa supaya Tuhan kembalikan kakinya yang putus sedangkan semasa sihat, dia lupa nikmat kaki yang diberikan, dia lupa nikmatnya berjalan dengan kaki, nikmatnya memijak bumi dengan tapak kaki, dll. Bersyukurlah kita.


5.12.15

Kamu Tetap Cantik

Aku terlalu ingin berbicara dengan mu.
Sepatah bicara darimu sudah cukup untuk menceriakan hariku.
Aku ingin selalu berhubung denganmu.
Aku ingin bicara denganmu
walaupun dialam maya tanpa perasaan.
Kerana hati kita sudah pun berhubung
melalui perasaan cinta.

Bukan aku mengelak memandangmu.
Bukan aku sengaja menjadi tuli di depanmu.
Aku terpana dengan kecantikanmu.
Aku terpaku lalu bibir membeku, lidah terkunci.
Ketahuilah olehmu, engkau tetap cantik
meskipun aku tidak memandangmu.
Kenyataan tidak akan berubah meskipun kita melupakannya.

Kamu, yang manis sekali bertudung.
Yang jiwa sedang dan sentiasa memberontak.
Ketahuilah aku sedang menunggumu.
Menunggu waktu untuk menjemputmu ke dalam duniaku.

Terbanglah kamu kesana untuk sekalung ilmu.
Turki sedang memanggilmu dari kejauhan.
Jadilah orang yang paling bermakna untuk masyarakat.
Meskipun waktu dan tempat menjarakkan kita,
Aku tetap disini menantimu.
Walaupun kau pergi kepada bukan aku.

Bermimpilah wahai cinta hatiku.
Semoga Tuhan memeluk mimpi kita. 

9.11.15

HIKMAH KEPULANGAN


‘Kamu kena balik sekali sekala’, kata seorang kawan.

Semasa hari raya haji, dia tidak pulang ke kampung dan menghabiskan masa cutinya di kampus. Cuti 5 hari seakan berlalu dengan pantas apabila ditemani seorang kawan. Keluarga yang porak peranda menjadi asbab untuk dia menyendiri di sini. Apabila tiba detik Fastaqim, kawan mengajaknya pulang ke Kelantan. Dia membuat keputusan dengan hati yang berat.


‘ibu sudah tawar hati dengan UMNO. Ibu nak masuk PAS’, suatu kata yang muncul tanpa dipinta.


Allah sememangnya sebaik Perancang. Nasihat kawan dan pensyarah menjadi penawar yang menemukannya dengan hikmah ini. Segala keserabutannya mulai surut dan bebanannya berkurang di semester akhir. Dia ialah aku. 

7.10.15

Belia Dan Cita-cita Ummah

Sejak kebelakangan ini saya melihat ramai rakan yang mula memuat naik post berkaitan perkahwinan. Tahun akhir dan pengaruh senior yang baru berkahwin merupakan faktor yang menyumbang kepada gejala ini. Saya akan mengulas serba sedikit tentang trend kahwin awal yang sedang terjadi.

Bagi saya, apabila melihat ada kawan yang terlibat dalam perbuatan ini, ianya menggambarkan apa yang sedang mereka fikirkan. Pokok takkan bertiup kalau tiada angin. Cara fikir kita sebagai seorang pelajar banyak dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Jika masa kita banyak dipenuhi dengan aktiviti kemasyarakatan, pastinya cara fikir kita ialah ke arah membangunkan masyarakat. Jika kita aktivis mahasiswa, mungkin tindakan dan cara fikir kita lebih ke arah pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.

Mengikut pemerhatian saya, kebanyakan mahasiswa Islam sekarang lebih banyak didedahkan dengan gejala kahwin awal dan cinta Islamik. Aktiviti seharian mereka hanya bermain sekitar ceramah, kuliah dan pengisian yang membawa ke arah cinta. Hasilnya cara mereka berfikir menjadi sempit dan tidak kemana.

Bagi saya, sebagai seorang pelajar, kita seharusnya meletakkan satu tanda aras yang tinggi dan berbeza dari orang yang biasa. Cita-cita untuk ummah dan masyarakat seharusnya menjadi objektif dan matlamat hidup, bukan sibuk memikirkan soal diri sendiri. Apabila waktu banyak dihabiskan dengan memikirkan bila nak kahwin, nak kahwin dengan siapa, berapa hantaran yang diperlukan, ciri-ciri pasangan idaman, dll, maka sia-sialah waktu kita.

Ada sebahagian kawan sangat takut kahwin lewat usia. Bimbang kalau tiada zuriat. Bagi saya, bukan perkara itu yang seharusnya difikirkan. Walaupun mereka banyak menghabiskan masa memikirkan soal itu, ianya tetap sama dan tidak kemana, tambahan pula baru tahun 1 pengajian dah sibuk fikir soal kahwin.

"manusia akan tinggalkan sebahagian perkara setelah dia mendapat perkara yang baru"

Kita seharusnya mempersiapkan diri kita untuk diposisikan di dalam masyarakat. Kayakan diri kita dengan pelbagai kemahiran supaya kita bersedia untuk dipanggil kelak.