16.8.15

PRAKTIKAL IS DONE

Alhamdulillah esok ialah hari terakhir aku praktikal di kampus ini. Aku datang dalam keadaan asing, aku duduk terasing disini, dan aku akan balik dalam keadaan asing. Aku bekerja disini tanpa teman dan merasai sedikit kejanggalan apabila dikelilingi oleh rakan sekerja yang baru kenal. Rasa sunyi dan terasing sudah menjadi lumrah dalam kehidupanku. Disitu aku belajar erti ketabahan, kecekalan dan belajar untuk memotivasikan diri sendiri apabila berasa lemah semangat dan lesu tidak bermaya. Aku titipkan beberapa pengalaman kesunyianku supaya ialah kekal sebagai ibrah pengalamanku.

Penghujung tahun 2011, aku mengambil semester pendek untuk menghabiskan sisa waktu akademik di asasi Nilai. Di waktu itu tidak ramai pimpinan yang mengambil semester pendek dan mereka banyak menghabiskan masa di kampung. Aku antara saki baki pimpinan kampus yang wujud pada semester itu. Sebelum bermula sem, semua pimpinan bersetuju untuk menjalankan gerak kerja semasa semester pendek dan hanya aku seorang sahaja yang membantah. Manakan tidaknya, mereka bersetuju kerana mereka tidak mengambil short semester dan akhirnya semua kerja tersebut dibebankan kepadaku. Pertama kalinya aku memilih untuk keluar dari bilik mensyuarat.

Semester pendek sememangnya suatu ujian yang mencekalkan jantung hatiku. Aku ditinggalkan tanpa pengisian dan tiada teman untuk bersembang dan berkongsi cerita. Rakan sebilik tetap menemani tapi mereka tidak lain cuma pengisi ruang waktu yang ada. Aku berjalan keseorangan di Dataran Nilai diwaktu malam sambil ditemani beberapa rangkap lirik Hujan- Aku Yang Asing. Berjalan sambil merenung nasib orang yang terasing.

Tahun 2013, aku memilih untuk mengisi cuti sem dengan bekerja di salah sebuah firma guaman di kota bharu milik senior sekolah. Walaupun bekerja dalam keadaan selesa berhawa dingin, rasa sunyi tetap menerjah jiwaku tatkala ditinggalkan keseorangan untuk menjaga pejabat. Aku yang bertugas sebagai office boy, hanya berpeluang untuk bertemu dengan bos cuma 2 kali seminggu sahaja. Disaat masih lagi belum mengenal whatsapp, facebooklah yang menjadi alat penemanku untuk berhubung dengan dunia luar. Setiap minggu aku cuba sasarkan untuk habiskan seminggu satu buku. Alhamdulillah usahaku berjaya, tapi kesunyian tetap menerpa dikala melihat orang lain bergelak ketawa bersama rakan.

Tahun 2014, aku bergerak ke Johor untuk bekerja di kilang air milik ibu saudara. Aku pergi berseorangan tanpa teman disisi. Aku menumpang di rumah sewa yang didiami oleh beberapa orang pemuda. Aku bersyukur kerana mereka memilih untuk pulang ke kampung kerana pada waktu itu ialah bulan Ramadan. Manakan tidaknya, mereka ialah pemabuk dan perokok. Jika mereka masih disitu, mungkin aku pun turut sama terjebak. Memulakan kerja pada bulan Ramadan sememangnya menguji ketabahanku. Di waktu sahur, aku bangun dari tidur dan bergegas ke restoran berhampiran untuk bersahur. Aku berjalan keseorangan menelusuri jalan gelap di celahan kawasan perumahan sambil melintasi beberapa ekor anjing liar. Hanya satu perkara sahaja yang bermain di fikiranku, Tawakkal.

Tidak cukup dengan itu, aku diuji dengan sikap rakan serumah yang tidak membayar sewa sehingga bekalan air dipotong. Maka terpaksalah aku menumpang di surau untuk keperluan harian. Hariku berlalu sambil ditemani sebuah buku. Rindu kepada rakan di kampus cukup meragut kesengsaraan jiwaku. Berbekalkan duit beberapa ratus yang aku kumpul sebelum datang kemari, aku memilih untuk pergi ke kampus untuk bersua muka dengan sahabat walaupun terpaksa ponteng kerja dan habis duit beratus untuk tambang bas. Pertemuan sehari dua sudah cukup bagiku untuk mengubat kekosongan dijiwa dan keadaan ini berterusan setiap minggu sehingga aku memilih untuk berhenti menjelang hari raya.

bersambung..

No comments:

Post a Comment