2.1.16

SELAMAT DATANG 2016

selamat datang 2016.

Alhamdulillah Tuhan masih lagi memberiku peluang untuk hidup dan menghirup udara 2016. Ramai orang yang mampu bersabar apabila ditimpa ujian tapi tidak ramai yang mampu bersyukur. Disebalik setiap kesusahan tersingkap beribu hikmah. Kita menyangka kebaikan yang datang selepas ujian hanyalah kebetulan dan keajaiban tapi sebenarnya ia adalah aturan Tuhan untuk kita.

Ramai orang yang mampu bermadah supaya sabar bila diuji tapi dia memberontak apabila diuji. Oleh itu, belajarlah untuk mencari jalan keluar apabila kita diuji. Kecewa, sedih dan menangis ialah perkara yang biasa berlaku. Kita boleh menangis tapi jangan sampai hanyut dalam kekecewaan. Apa yang penting ialah bangkit dan susun kembali perjalanan untuk hari yang mendatang.

Ujian menjadikan kita alumni kepada masalah. Apabila kita berjaya mengharungi ujian, kita menjadi contoh kepada orang lain. Orang ramai sepatutnya datang kepada kita kerana kita telah berjaya tapi tidak semua manusia sedar perkara ini. Mereka mencari orang yang silap dan gagal untuk kali kedua.

Segala kesenangan yang kita dapat hari ini hanyalah peluang yang diberikan oleh Tuhan untuk kita gunakan sebaik mungkin. Kita berjaya hari ini bukanlah kerana kita hebat. Kita berjaya masuk universiti bukanlah kerana kita ini pandai tetapi ini ialah peluang yang Tuhan beri. Ada orang yang keputusannya lebih baik dari kita tetapi dia tidak sambung belajar kerana masalah kewangan. Mereka masih lagi di kampung membanting tulang untuk keluarga di usia muda. Bersyukurlah kita.

Ayuh kita gunakan segala kesenangan yang Tuhan beri ini untuk benda yang baik. Jangan kita rosakkan masa, tenaga, kesenangan, kesihatan dan kudrat yang diberi untuk benda alpa. Belajarlah erti bersyukur sebelum Tuhan tarik balik nikmat ini. Ada orang yang kudung berdoa supaya Tuhan kembalikan kakinya yang putus sedangkan semasa sihat, dia lupa nikmat kaki yang diberikan, dia lupa nikmatnya berjalan dengan kaki, nikmatnya memijak bumi dengan tapak kaki, dll. Bersyukurlah kita.


No comments:

Post a Comment